Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Krismas Diperhebat
SIBURAN: Usaha memperkukuh keselamatan pengguna jalan raya terus dipertingkatkan menerusi Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Musim Perayaan Krismas 2025 Peringkat Bahagian Serian di sini pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, John Ilus berkata, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama semua pihak dan tidak terhad kepada satu atau dua agensi semata-mata, sebaliknya melibatkan pemandu, penunggang motosikal, pembonceng serta pejalan kaki.
Menurut beliau, kempen berkenaan dianjurkan secara kolaboratif antara Pejabat Residen Bahagian Serian dan Kementerian Pengangkutan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Siburan, Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Bahagian Serian, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta sokongan pihak swasta.
Beliau juga berharap kempen kesedaran seumpama ini dapat memberi impak positif dalam mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan menunggang, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan Krismas.
Sebagai tarikan utama, 50 pengunjung terawal turut menerima topi keledar percuma hasil sumbangan daripada Tay Motors, sekali gus mencerminkan sokongan sektor swasta terhadap usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Penganjuran kempen ini diharap dapat menyemai budaya pemanduan berhemah dalam kalangan masyarakat serta menjadi platform berkesan untuk menyampaikan mesej keselamatan jalan raya secara berterusan kepada komuniti setempat.-EDISI UKAS
Dilaporkan oleh:
Maria Bt Acher
Genevieve Kuntang
UKAS Bahagian Serian