Pelaksanaan Jalan Bertingkat, Jimatkan Kos Penyelenggaraan Jangka Panjang
PADAWAN: Pelaksanaan pembinaan jalan raya bertingkat di kawasan tanah gambut mampu menjimatkan kos penyelenggaraan infrastruktur berkenaan bagi tempoh jangka panjang, meskipun memerlukan kos pembinaan awal yang lebih tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penggunaan bahan geotekstil sebelum ini masih belum berupaya mengatasi sepenuhnya masalah mendapan tanah di kawasan gambut, sekali gus menyebabkan kerja penyelenggaraan perlu dilakukan secara kerap demi keselamatan pengguna.
Menurut beliau, pendekatan baharu melalui pembinaan jalan bertingkat menggunakan teknologi terkini dilihat lebih berkesan kerana dapat mengurangkan kerosakan jalan, seterusnya menjimatkan kos penyelenggaraan dalam jangka masa panjang.
“Seperti yang kita sedia maklum, terdapat jalan di Samarahan yang telah kita bangunkan sebelum ini di mana kita menggunakan geotekstil, namun ternyata kaedah tersebut tidak begitu berkesan kerana keadaan jalan masih tidak rata dan beralun.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya menukar pendekatan dan menggunakan teknologi baharu dalam pembinaan jalan di kawasan tanah gambut, iaitu pembinaan jalan bertingkat, walaupun kos pembinaan awalnya lebih tinggi, namun dalam jangka panjang kos penyelenggaraan adalah lebih rendah dan menjimatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Pecah Tanah Projek Clinker Line 2 di Loji Bersepadu Mambong, di sini pada Khamis.
Sementara itu, jelas beliau, pembinaan jalan bertingkat turut memberi manfaat kepada Sarawak dari sudut kelestarian alam sekitar kerana tanah bakau dan tanah gambut tidak perlu diganggu, sekali gus membolehkan kawasan tersebut berfungsi sebagai penyimpan karbon semula jadi.
“Sebagai pulangannya, kawasan ini berupaya menyimpan karbon, sekali gus membolehkan kita terlibat dalam perdagangan karbon. Walaupun tiada hasil pendapatan secara langsung di kawasan tersebut, di sini kita masih memperoleh pendapatan.
“Dengan itu, sekurang-kurangnya keadaan menjadi seimbang di mana kita tidak mengalami kerugian, malah memperoleh manfaat,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Hipni, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak (CMS) Berhad Dato Seri Diraja Tan Sri (Dr) Mohd Zahidi Zainuddin, Pengarah Urusan Kumpulan CMS Berhad Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib serta tetamu lain.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi