Ahli Parlimen Batang Sadong Gesa Kerjasama Komuniti Tangani Ancaman Dadah
SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee menggesa seluruh lapisan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar agar meningkatkan kewaspadaan dan memperkukuh kerjasama susulan peningkatan ketara kes penyalahgunaan dadah di Daerah Simunjan.
Beliau memaklumkan bahawa setakat ini, 73 kes tangkapan berkaitan dadah direkodkan PDRM Daerah Simunjan berbanding 43 kes pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan isu ini berada pada tahap membimbangkan.
“Ancaman dadah kini bukan lagi tertumpu di bandar, sebaliknya semakin ketara di luar bandar dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Program Komuniti Bebas Tanpa Dadah Daerah Simunjan 2025 di sini, pada Khamis.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Daerah Simunjan atas penganjuran program yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta serta penglibatan 19 agensi kerajaan dan NGO, yang mencerminkan pendekatan bersepadu Kerajaan Sarawak dalam pencegahan dadah.
Menurutnya, program ini bukan bersifat simbolik, sebaliknya penting untuk meningkatkan kesedaran awam serta pendedahan mengenai trend semasa dadah.
Rodiyah turut memuji penubuhan Skuad Anti Dadah Daerah Simunjan melibatkan belia tempatan dan menegaskan peranan belia sebagai ejen perubahan.
“Belia harus menjadi pendidik rakan sebaya serta mata dan telinga masyarakat,” ujarnya.
Beliau menegaskan usaha membanteras dadah memerlukan komitmen bersama semua pihak, termasuk ibu bapa dan pendidik, sambil melahirkan kebimbangan terhadap penglibatan pelajar sekolah.
“Pengawasan awal oleh ibu bapa amat penting kerana perkara kecil boleh menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah yang lebih serius,” katanya.
Beliau juga berharap Simunjan dapat bergerak ke arah sifar kes penyalahgunaan dadah, dengan penguatkuasaan semakin giat namun jumlah tangkapan menurun sebagai petunjuk kejayaan pencegahan.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi OSC Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, wakil Residen Bahagian Samarahan Hasanal Abdul Wahid, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak dan Ketua Polis Daerah Simunjan, DSP Rafhan Kepli.-EDISI UKAS