Naik Taraf Sistem Paip Air Graviti Kampung Biawak Siap, Tingkat Akses Air Bersih Penduduk
LUNDU: Projek naik taraf Sistem Paip Air Graviti Kampung Biawak yang dilaksanakan di bawah peruntukan Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) telah siap sepenuhnya.
Majlis penyerahan projek siap berkenaan telah disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, baru-baru ini.
Simbolik penyerahan projek disempurnakan menerusi gimik pembukaan pili paip air graviti oleh Billy menandakan sistem bekalan air yang telah dinaik taraf kini boleh digunakan sepenuhnya oleh komuniti Kampung Biawak.
Projek tersebut bermula pada 16 Jun 2025 dan berjaya disiapkan mengikut jadual pada 15 Disember 2025 dengan siling kos berjumlah RM700,000.
Pelaksanaan projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem paip air graviti sedia ada bagi memastikan bekalan air yang lebih stabil, selamat dan mencukupi, dengan ED Builders Enterprise dilantik sebagai kontraktor utama.
Dalam ucapannya, Billy menzahirkan harapan agar kemudahan yang disediakan dapat dijaga dengan baik dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung bagi meningkatkan kualiti hidup.
Tegas beliau, komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan asas khususnya bekalan air bersih terus menjadi keutamaan demi kesejahteraan rakyat luar bandar.-EDISI UKAS