22 Pintu Rumah Panjang Samun Terima Bantuan Atap Rumah
SELANGAU: Sebanyak 22 pintu di Rumah Panjang Samun Anyot, Data Penyarai menerima bantuan bahan binaan berupa atap rumah bagi tujuan penambahbaikan kediaman, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.
Bantuan tersebut disalurkan menerusi peruntukan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta melalui Projek Mesra Rakyat (MyKhas) sebagai usaha berterusan membantu kebajikan rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Tuai Rumah Samun mewakili penduduk rumah panjang berkenaan merakamkan penghargaan atas bantuan yang diterima.
“Bantuan ini amat bermakna dan memberi keselesaan serta kesejahteraan kepada penduduk walaupun kami tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya semasa penyerahan bantuan tersebut pada Rabu.
Penyerahan bantuan ini dijangka dapat memperkukuh tahap keselamatan kediaman penduduk, di samping membantu meningkatkan keselesaan hidup komuniti rumah panjang berkenaan.
Inisiatif seumpama ini juga mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan pembangunan dan bantuan asas terus disalurkan kepada rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman secara inklusif.-EDISI UKAS