Substesen Baharu RM200 Juta Sedang Dibina, Atasi Gangguan Elektrik Serian & Tebedu
SERIAN: Pembinaan sebuah substesen baharu bernilai lebih RM200 juta dengan kapasiti 275 kilovolt (kV) kini sedang dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di kawasan Serian dan Tebedu, susulan peningkatan mendadak keperluan tenaga dalam kalangan penduduk.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben berkata gangguan berkenaan berpunca daripada kapasiti sistem bekalan sedia ada pada tahap 33kV dan 11kV yang telah melebihi had penggunaan semasa.
Menurut beliau, projek pembinaan substesen baharu oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) itu dijangka siap pada suku kedua tahun 2028 dan akan meningkatkan kestabilan serta keupayaan bekalan elektrik di kedua-dua kawasan berkenaan.
"Keadaan ini berlaku akibat pertambahan penggunaan peralatan elektrik di kediaman, sejajar dengan pertumbuhan penduduk dan pembangunan setempat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Ketua Masyarakat Ketua Kaum Bidayuh Bahagian Serian di sini pada Rabu.
Datuk Martin menambah, penduduk kampung perlu menggunakan saluran rasmi seperti SEB Careline untuk membuat sebarang aduan berkaitan bekalan elektrik.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan SEB turut mengambil dua langkah segera iaitu menaik taraf talian perkhidmatan sedia ada serta mempergiat kerja-kerja pembersihan laluan talian elektrik.-EDISI UKAS