KUCHING: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Sarawak bukan sekadar meringankan beban kewangan pelajar, malah menjadi strategi jangka panjang kerajaan negeri ini dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Bagi pelajar Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Marcella Aleya Sulin, pelaksanaan FTES disifatkan amat bermakna kerana memberi kelegaan kewangan sekali gus membolehkan pelajar menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian di peringkat tertiari.
"Saya amat gembira dan bersyukur kerana skim ini sangat membantu anak Sarawak yang berdepan kekangan kewangan untuk menampung kos pengajian di peringkat universiti,” katanya ketika ditemui UKAS pada Majlis Pelancaran FTES di sini pada Khamis.
Tambah Marcella, bantuan tersebut turut meningkatkan keupayaan pelajar untuk mengekalkan prestasi akademik yang baik serta mengembangkan potensi diri bagi menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Sementara itu, Amirrul Fathullah Muizzuddin dari Kolej Universiti i-CATS berkata, pelaksanaan FTES bukan sahaja membangkitkan rasa bangga sebagai anak Sarawak, malah menyuntik semangat pelajar untuk melanjutkan pengajian tanpa dibelenggu kebimbangan kewangan.
“Sebagai anak Sarawak, saya berasa lebih bersemangat untuk belajar di universiti kerana pengajian kami ditanggung melalui FTES,” ujarnya.
Pandangan sama dikongsi Nur Faezah Mansoor dari Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang melihat inisiatif berkenaan sebagai pemangkin kepada perancangan masa depan yang lebih jelas, termasuk hasrat untuk menyumbang kembali kepada negeri selepas tamat pengajian.
"Selepas mengetahui pelaksanaan pendidikan percuma ini, perancangan kami adalah untuk terus berkhidmat di Sarawak sebagai tanda membalas budi kerajaan,” katanya.
Majlis pelancaran FTES telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
FTES yang akan bermula pada 2026 dilaksanakan di empat universiti milik Kerajaan Sarawak, iaitu Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, Universiti Teknologi Sarawak dan Universiti Curtin Malaysia.
Inisiatif tersebut meliputi 64 kursus bertauliah yang memfokuskan bidang strategik seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Perakaunan dan Kewangan, Undang-Undang, Sains Perubatan serta Psikologi.-EDISI UKAS