Generasi Digital Berakhlak Tonggak Masa Depan Sarawak
LUNDU: Pembentukan generasi digital yang berakhlak, berdisiplin serta memiliki jati diri kukuh perlu menjadi keutamaan dalam memastikan Sarawak kekal mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) harus dimanfaatkan secara seimbang dengan nilai murni agar tidak menjejaskan pembentukan sahsiah generasi muda.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Smart Excellence Day 2025: Menjana Generasi Digital di Sekolah Kebangsaan Paon Temaga, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, generasi digital yang ingin dilahirkan bukan hanya celik teknologi, tetapi turut berfikiran kritis, beretika dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi.
“Ilmu tanpa nilai akan pincang dan kemahiran tanpa etika boleh membawa mudarat. Teknologi seharusnya menjadi alat untuk memperkasa potensi murid, bukan matlamat utama tanpa keseimbangan,” katanya.
Billy turut memuji pihak sekolah atas penganjuran majlis tersebut yang bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan akademik, malah menilai pencapaian murid dari aspek sahsiah, kepimpinan dan kokurikulum.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah sekolah memerlukan komitmen berterusan guru, sokongan ibu bapa serta kerjasama komuniti setempat, sekali gus memperkukuh peranan sekolah sebagai teras pembangunan masyarakat.
Dalam pada itu, murid-murid yang menerima pengiktirafan diingatkan agar menjadikan kejayaan tersebut sebagai dorongan untuk terus berusaha dan berdisiplin.
“Kejayaan sebenar bukan milik mereka yang paling bijak, tetapi milik mereka yang paling gigih dan berdisiplin,” ujarnya.
Sebagai wakil rakyat, Billy menegaskan komitmen beliau untuk terus menyokong pembangunan pendidikan luar bandar dan memastikan murid di kawasan Opar tidak tercicir dalam arus pendidikan digital.
Majlis tersebut menandakan sokongan berterusan kepimpinan kawasan terhadap usaha melahirkan generasi digital berakhlak dan berdaya saing di Sekolah Kebangsaan Paon Temaga.-EDISI UKAS