DEBAK: Majlis Apresiasi Tadika KEMAS akhir tahun 2025 Zon Debak yang berlangsung di Dewan Millenia Debak pada Khamis menjadi detik bermakna apabila seramai 132 kanak-kanak Tabika KEMAS diraikan setelah menamatkan sesi pembelajaran mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Kesejahteraan Komuniti), Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, penganjuran majlis seumpama itu amat penting sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan pengorbanan para pendidik yang telah mencurahkan bakti dalam mendidik kanak-kanak sejak usia awal.
Menurut beliau, Tabika KEMAS memainkan peranan besar dalam membentuk asas pendidikan, sahsiah dan jati diri kanak-kanak, selain menjadi platform awal untuk mereka mengenal ilmu, disiplin, nilai murni serta kemahiran sosial yang penting untuk masa depan.
“Di sinilah bermulanya langkah pertama kanak-kanak mengenal dunia pembelajaran secara formal yang akan menjadi bekalan berharga dalam perjalanan pendidikan mereka,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu turut menegaskan bahawa kejayaan dan kecemerlangan kanak-kanak hari ini merupakan hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar sokongan padu terhadap program-program KEMAS terus diperkukuhkan bagi memastikan kesinambungan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua kanak-kanak yang diraikan serta menyeru agar mereka terus rajin belajar dan mendengar nasihat guru serta ibu bapa.
Turut hadir ialah Pegawai KEMAS Bahagian Betong Jeffy Lana, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Debak Mohamad Khairurani Mohamad Ibrahim, Temenggung Bahagian Betong Piee Alwi dan Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak KEMAS Bahagian Betong Nurhuzaizah Mostapha.-EDISI UKAS