FTES Komitmen Kerajaan Sarawak Perluas Akses Pendidikan Tinggi Percuma
KUCHING: Pelancaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) mencerminkan komitmen jelas kerajaan negeri dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif, mampan dan adil sejajar dengan agenda pembangunan modal insan serta mobiliti sosial jangka panjang negeri.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, FTES bukan sekadar pengumuman program baharu, sebaliknya pelaksanaan dasar strategik yang menyokong hala tuju ekonomi dan sosial Sarawak berteraskan pengetahuan, inovasi serta pembangunan bakat.
“Skim ini lahir daripada visi dan kepimpinan Premier Sarawak untuk menyingkirkan kekangan kewangan yang menghalang anak-anak Sarawak daripada melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, sekali gus memastikan mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa dibebani kebimbangan hutang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Majlis Pelancaran FTES yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di pada Khamis.
Dato Sri Roland menambah, idea FTES mula diperkenalkan oleh Premier Sarawak dalam Ucapan Bajet Sarawak 2023, sebagai satu arahan dasar yang jelas untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai pemacu utama pembangunan negeri dan mekanisme memperkukuh keadilan sosial.
Beliau menjelaskan, MEITD bersama agensi berkaitan telah melaksanakan perancangan menyeluruh termasuk sesi libat urus rentas kementerian, penggubalan kerangka pelaksanaan serta penyediaan Kertas Kabinet yang kemudiannya mendapat kelulusan sebulat suara, memastikan FTES berdaya laksana dari segi fiskal dan pentadbiran.
“Kelulusan peruntukan kewangan yang signifikan dalam Bajet Negeri terkini membuktikan kesungguhan kerajaan menjadikan FTES satu pelaburan strategik dalam akses pendidikan, peluang masa depan dan kebebasan kewangan pelajar,” ujarnya.
Tambah beliau, segala asas perundangan dan kewangan telah dimuktamadkan, membolehkan FTES dilaksanakan serta-merta untuk memberi manfaat langsung kepada pelajar dan keluarga di seluruh Sarawak.
Majlis pelancaran ini turut membuka laluan kepada penerangan lebih terperinci mengenai pelaksanaan FTES melalui ucapan Premier Sarawak yang dijangka memperincikan skop, manfaat serta impak skim tersebut terhadap landskap pendidikan dan peluang kerjaya negeri.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri MEITD Datuk Francis Harden Hollis serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS