UNIFOR Perkukuh Keharmonian Beragama, RM1.032 Juta Disalur Kepada Gereja Pedalaman Telang Usan
MIRI: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memelihara keharmonian antara agama serta memastikan pembangunan seimbang hingga ke kawasan pedalaman terus diperkukuh menerusi penyaluran dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM1.032 juta kepada gereja-gereja di kawasan Telang Usan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, penyaluran peruntukan tersebut mencerminkan dasar inklusif Kerajaan Sarawak yang sentiasa menitikberatkan keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira agama mahupun lokasi geografi.
“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak sentiasa memastikan semua komuniti, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapat perhatian yang sewajarnya.
“UNIFOR bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol keprihatinan kerajaan terhadap keharmonian dan kesejahteraan rakyat,” katanya semasa Majlis Penyampaian Peruntukan UNIFOR kepada gereja-gereja di kawasan Telang Usan di Pusat Khidmat Rakyat N.77 Telang Usan, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan merangkumi enam penerima utama iaitu Borneo Evangelical Mission (BEM) Long Lutin sebanyak RM300,000, The Bishop of Miri Gereja Katolik Emmanuel Long Apu (RM250,000), Gereja St Peter Long Sobeng (RM125,000) dan BEM Long Anyat (RM150,000).
Turut menerima peruntukan ialah The Bishop of Miri – Gereja St. Petrus, Long Palai berjumlah RM107,000 serta Lembaga Pengurusan Sekolah Kebangsaan St Pius yang menerima keseluruhan RM100,000 melalui dua cek bernilai RM87,000 dan RM13,000.
Dato Dennis menegaskan bahawa semua penerima perlu memastikan peruntukan digunakan mengikut tujuan permohonan asal serta mengamalkan pengurusan kewangan yang telus dan berintegriti.
“Setiap sen dana awam mesti memberi manfaat langsung kepada komuniti. Rekod perbelanjaan perlu disimpan dengan baik bagi memudahkan pemantauan dan juga permohonan peruntukan tambahan pada masa akan datang,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan agar sebarang perubahan kepimpinan atau jawatankuasa di peringkat gereja tidak menjejaskan pelaksanaan projek yang telah diluluskan, sambil menegaskan bahawa peruntukan UNIFOR adalah milik institusi dan masyarakat, bukan individu.
Majlis tersebut sekali gus menzahirkan iltizam berterusan Kerajaan Sarawak dalam memupuk perpaduan, saling menghormati antara penganut agama serta memastikan pembangunan rumah ibadat terus dilaksanakan secara inklusif dan berkesan demi kesejahteraan masyarakat majmuk negeri ini.-EDISI UKAS