FTES Langkah Bersejarah Perkasa Modal Insan Sarawak
KUCHING: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang dilancarkan hari ini menjadi langkah bersejarah Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan modal insan serta menjamin masa depan anak-anak Sarawak tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaksanaan skim berkenaan membuka peluang pelajar Sarawak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri tanpa menanggung kos.
“Ini adalah hari bersejarah di dalam kita melaksanakan dasar pendidikan kita di Sarawak kerana hari ini anak-anak Sarawak yang mempunyai kebolehan dan bakat dapat menyambung pengajian ke universiti secara percuma,” katanya semas berucap dalam majlis pelancaran tersebut di sini, pada Khamis.
Menjelas lanjut, Premier Sarawak berkata, pelajar daripada golongan B40 sering terhalang daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi walaupun memperoleh keputusan akademik yang baik.
Tambah beliau, keadaan itu memberi kesan besar kepada masa depan pelajar terbabit serta pembangunan jangka panjang negeri, sedangkan Sarawak memerlukan modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong peralihan kepada ekonomi moden dan berasaskan teknologi.
Beliau menjelaskan bahawa Sarawak kini sedang beralih kepada ekonomi moden berasaskan teknologi, tenaga bersih dan inovasi, termasuk pembangunan hidrogen, tenaga boleh baharu serta teknologi semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), yang memerlukan kepakaran dalam sains dan teknologi.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM250 juta bermula tahun 2026 bagi membiayai pendidikan tinggi pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi milik Sarawak, dengan jaminan tempat dan pembiayaan penuh yang bersifat mampan untuk jangka panjang.
“Kami tidak mahu ibu bapa risau. Mereka tidak perlu mengorbankan pendapatan untuk pendidikan tinggi anak-anak.
“Biarlah kerajaan yang bersusah payah mencari dana demi rakyat Sarawak dan masa depan negeri ini.
“Para pelajar, kami sayangkan anda. Hati kami bersama anda dan ibu bapa anda, supaya mereka dapat hidup dengan tenang dan pendidikan tinggi menjadi tanggungjawab kerajaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa selagi Sarawak ditadbir dengan baik oleh kepimpinan yang berintegriti dan ikhlas, kerajaan mampu memastikan kelangsungan dasar tersebut demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Timbalan- Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datu Adana Jed serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir