FTES Mula Dilaksana Februari-Mac 2026, Libat 4,693 Pelajar
KUCHING: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) akan mula dilaksanakan bermula ambilan sesi pertama sekitar Februari atau Mac ini, melibatkan kira-kira 4,693 pelajar tahun pertama dalam 64 program pengajian baharu yang telah dikenal pasti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kesemua program yang ditawarkan di bawah FTES merupakan bidang baharu yang sangat diperlukan bagi menyokong keperluan ekonomi baharu Sarawak.
“Apabila sesi bermula sama ada pada Februari atau Mac, seramai 4,000 pelajar ini akan memulakan pengajian tahun pertama dalam 64 program yang telah dikenal pasti dan semuanya adalah program baharu yang penting untuk ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran FTES, di Kuching, pada Khamis.
Mengulas mengenai penambahan program pada masa hadapan, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, 64 program sedia ada boleh diperluaskan melalui penambahan sub-disiplin baharu.
“Penambahan ini bergantung kepada keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak universiti, asalkan kita dapat menyediakan tenaga kerja yang sesuai untuk ekonomi baharu Sarawak,” ujarnya lagi.
Mendedah kemungkinan penyertaan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dalam FTES pada masa hadapan, beliau berkata, perkara tersebut tertakluk kepada pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir