Premier Sarawak Puji Inisiatif Hijau Industri Simen CMS
PADAWAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memuji inisiatif industri simen hijau yang dilaksanakan oleh Cahya Mata Sarawak (CMS) Berhad yang bukan sahaja menyokong agenda pembangunan mampan Sarawak, malah selari dengan usaha global mengurangkan pelepasan karbon.
Menurut beliau, langkah berani CMS Berhad menggunakan sisa pemulihan sebagai sebahagian daripada sumber tenaga serta menghasilkan simen mesra alam membuktikan komitmen syarikat tersebut dalam menerapkan teknologi hijau dan amalan industri lestari.
“Berdasarkan latar belakang tersebut, saya ingin mengucapkan tahniah kepada CMS atas langkah berani menggunakan sisa pemulihan sebagai sebahagian daripada sumber tenaga, serta menghasilkan, seperti yang dimaklumkan kepada saya sebentar tadi, simen mesra alam.
“Bahan inilah yang amat kita perlukan pada masa ini bagi mengimbangi kesan pelepasan karbon, di samping jenis bahan yang digunakan dalam proses pengeluarannya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Clinker Line 2 di Loji Bersepadu Mambong, di sini pada Khamis.
Untuk rekod, CMS Berhad telah melaburkan RM673 juta bagi membangunkan projek tersebut yang dijangka mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran clinker kepada 1.9 juta tan metrik setahun, sekali gus mengukuhkan bekalan simen di Sarawak.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan kepentingan industri simen yang kukuh bagi menyokong keperluan sektor pembinaan dan infrastruktur yang terus berkembang di Sarawak.
“Ini telah membolehkan Sarawak untuk terus membangun, khususnya dalam sektor pembinaan dan juga infrastruktur yang berjaya mengangkat ekonomi kita hingga ke hari ini,” jelas beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Hipni, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak (CMS) Berhad Dato Seri Diraja Tan Sri (Dr) Mohd Zahidi Zainuddin, Pengarah Urusan Kumpulan CMS Berhad Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib serta tetamu lain.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi