Kaul Mukah 2026 Diadakan 27 April Hingga 3 Mei, Kaul Seraheng Kakan 25 April
MUKAH: Acara ikonik, Kaul Mukah 2026 akan dianjurkan di Tapak Kaul Pantai Kala Dana Mukah dari 27 April hingga 3 Mei, manakala Kaul Seraheng Kakan pula akan diadakan lebih awal pada 25 April.
Ketetapan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kaul Mukah 2026 Bil. 1 yang diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah) pada Jumaat.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Presiden Persatuan Melanau Mukah (PMM) Abdul Yakub Arbi itu bertujuan menetapkan pengelola serta perancangan awal penganjuran Kaul Mukah 2026.
Kaul Seraheng Kakan akan menampilkan ritual Kaul asal yang menekankan nilai tradisi dan adat masyarakat Melanau menerusi perarakan Seraheng Kakan menggunakan perahu dari Sungai Tellian sehingga ke Muara Batang Mukah menuju ke Tugek Kala Mukah.
Ia akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Tetap Kaul Asal (JKTeKA) yang dipengerusikan oleh Penghulu Kampung Tellian.
Turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah ADUN Tellian Royston Valentine serta Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili.-EDISI UKAS