Penduduk Kampung Sau Nikmati Jeti Baharu, Projek Siap Awal
MUKAH: Penduduk Kampung Sau kini boleh menarik nafas lega apabila kemudahan jeti kampung mereka berjaya dinaik taraf sepenuhnya dan disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Projek Naik Taraf Jeti Kampung Sau bernilai RM300,000 itu pada asalnya dijadualkan siap pada Mac tahun hadapan, namun telah disiapkan sepenuhnya pada 27 November lalu, sekali gus membolehkan kemudahan tersebut digunakan lebih awal oleh penduduk setempat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur asas yang selamat dan selesa kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Selain memudahkan urusan pengangkutan sungai, kemudahan ini turut menyokong kelancaran aktiviti ekonomi penduduk kampung,” katanya semasa berucap daam majlis penyerahan projek pada Jumaat.
Abdul Yakub berharap, kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat serta dijaga dengan baik bagi menjamin keselamatan dan ketahanan jangka panjang.
Selepas majlis, ADUN Balingian itu bersama pihak kontraktor dan agensi pelaksana turut meninjau keadaan jeti bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat dan sesuai digunakan oleh orang ramai.
Turut hadir ialah Ketua Kaum Kampung Sau Mazlan Abdullah dan Kaunselor Semaon Yusuf.-EDISI UKAS