Pembangunan Tebingan Sungai Daro Dirangka Sebagai Ruang Hidup Komuniti
DARO: Projek Pembangunan Tebingan Sungai Daro yang telah mula dilaksanakan bukan hanya melibatkan pembinaan fizikal, sebaliknya dirangka sebagai ruang hidup komuniti yang menghubungkan keperluan sosial, rekreasi dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, pendekatan pembangunan projek berkenaan mengambil kira keperluan pelbagai lapisan umur, sekali gus membezakan Tebingan Sungai Daro daripada pembangunan tebingan sungai di lokasi lain.
“Kita sedia maklum waterfront tempat lain juga mempunyai kemudahan yang sama tetapi seperti mana saya katakan tadi bahawa waterfront yang kita ada di Daro ini agak unik sedikit kerana komponen-komponen di dalam projek ini mengambil kira keperluan masyarakat pelbagai lapisan umur daripada belia, kanak-kanak dan seterusnya kepada orang tua.
“Projek ini bukan sebagai waterfront samata-mata tetapi juga sebagai satu tempat riadah yang baru yang boleh memenuhi sebuah keperluan masyarakat kita khususnya di Daro ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Doa Selamat Mula Kerja Projek Pembangunan Tebingan Sungai Daro di tapak projek, di sini, pada Jumaat.
Menjelas lanjut, Dr. Safiee berkata, projek yang telah dirancang sejak sekian lama itu akhirnya dapat dimulakan selepas melalui proses tender semula, dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan bermula 21 November lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 20 November 2027.
Dr. Safiee turut mengakui bahawa pelaksanaan projek itu dijangka memberi sedikit kesan kepada kelancaran aktiviti harian penduduk memandangkan lokasinya di laluan utama, namun manfaat jangka panjangnya diyakini mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama masyarakat serta komitmen semua pihak terlibat termasuk kontraktor, perunding dan agensi pelaksana bagi memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan.
Tambah beliau, Tebingan Sungai Daro dijangka menjadi pelengkap kepada pembangunan sedia ada dan bakal dilaksanakan, sekali gus membentuk identiti baharu Daro sebagai pekan yang mesra komuniti dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.
Hadir sama semasa majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah DID Sarawak yang Ir. Ts. Faizal Suki, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos, Pemanca Lau Oi Phen serta wakil syarikat konsultan dan kontraktor projek.-EDISI UKAS