Fasa Pertama Projek ART Sarawak Capai 35 Peratus Kemajuan
KUCHING: Projek Transit Aliran Automasi (ART) Sarawak bagi fasa pertama yang melibatkan Laluan Biru, Laluan Merah dan Laluan Hijau kini mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 35 peratus, sekali gus menandakan perkembangan positif pelaksanaan sistem pengangkutan awam moden negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tempoh dua tahun sebelum 2028 merupakan fasa kritikal bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berada di landasan yang betul dan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penyiapan Stesen ART Hikmah Exchange sebagai hab pengangkutan utama adalah amat penting berikutan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah bandar bagi menghubungkan pelbagai kawasan tumpuan di sekitar Kuching.
“Stesen ini akan mempunyai akses ke semua lokasi strategik di kawasan tengah bandar Kuching termasuk ke Market Street dan dari akses Padang Merdeka, laluan ART akan menuju ke Jalan Carpenter dan seterusnya terus ke Padungan.
“Melalui sambungan ini, sistem ART turut dihubungkan ke Petra Jaya menerusi Laluan Hijau, yang menghubungkan kawasan pejabat kerajaan di Petra Jaya sebelum diteruskan hingga ke Damai dan stesen pusat ini juga mempunyai sambungan ke Simpang Tiga yang menempatkan pejabat-pejabat persekutuan.
“Sehubungan itu, stesen ini amat strategik dan berfungsi sebagai hab utama ART, yang menghubungkan orang ramai ke pelbagai arah di seluruh Bandaraya Kuching,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Stesen ART Hikmah Exchange, di sini pada Jumaat.
Difahamkan, Stesen ART Hikmah Exchange dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2028.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi fasiliti penting ART iaitu Stesen Rembus, yang menempatkan stesen hidrogen, kini berjalan mengikut jadual perkembangan yang ditetapkan.
Untuk rekod, Datuk Patinggi Abang Zohari mendedahkan bahawa dua unit gerabak ART pertama dijangka tiba di Kuching pada suku pertama tahun depan, iaitu selewat-lewatnya pada April 2026.
Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts Mazli Mustaffa serta tetamu lain.-EDISI UKAS