BA’KELALAN: Pustaka Negeri Sarawak terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa komuniti luar bandar menerusi penganjuran Jerayawara Sarawak Lestari 2025, sebuah inisiatif advokasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menekankan pengukuhan literasi maklumat dan amalan pembangunan mampan di peringkat akar umbi.
Jerayawara selama dua hari yang berlangsung di Kampung Buduk Nur, Ba’kelalan itu telah melibatkan pelbagai pengisian berteraskan pendidikan komuniti, kesedaran alam sekitar serta kesejahteraan sosial, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak ke arah pembangunan seimbang dan inklusif.
Majlis penutupan jerayawara tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Pustaka Negeri Sarawak, Wan Mazli Wan Razali.
Menurut beliau, Jerayawara Sarawak Lestari 2025 merupakan inisiatif advokasi Matlamat Pembangunan Lestari yang dilaksanakan selaras dengan mandat Kerajaan Sarawak dalam memperkasa komuniti melalui pengukuhan literasi maklumat dan amalan pembangunan mampan, khususnya di kawasan luar bandar.
Sepanjang penganjuran jerayawara, pelbagai pengisian program telah dilaksanakan, antaranya sesi literasi maklumat, bengkel komuniti, explorace komuniti lestari, ceramah, pertandingan, pameran jabatan dan agensi, pemeriksaan kesihatan serta aktiviti interaktif yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
Pendekatan inklusif ini bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan pembangunan yang seimbang dari aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak ke arah pembangunan mampan.
Penganjuran jerayawara ini turut mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai pihak, termasuk Pejabat Daerah Lawas, Jawatankuasa Kemajuan Kampung Buduk Nur, Majlis Daerah Lawas, Pejabat Kesihatan Daerah Lawas, Lembaga Kemajuan Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Universiti Malaysia Sabah serta Majlis Amanah Rakyat Daerah Limbang dan Lawas yang telah menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan program dan pencapaian objektif yang disasarkan.
Dalam pada itu, Pustaka Negeri Sarawak berharap penganjuran Jerayawara Sarawak Lestari 2025 di Ba’kelalan dapat menjadi contoh amalan terbaik dalam memperkasa komuniti luar bandar agar lebih celik maklumat, proaktif serta komited dalam menyokong agenda pembangunan mampan di peringkat akar umbi.-EDISI UKAS