Masalah Banjir Amfield Villa 2 Diberi Perhatian, JPS Laksana Kajian Lanjut
MIRI: Masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan perumahan Amfield Villa 2, Jalan Pujut Padang Kerbau terus diberi perhatian apabila satu lawatan tapak diadakan bagi menilai punca kejadian serta mengenal pasti langkah penyelesaian yang bersesuaian.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan rendah yang mudah terjejas banjir, khususnya ketika hujan lebat akibat aliran air dari kawasan berbukit berhampiran.
Menurut beliau, paras air banjir yang dilaporkan sebelum ini mencecah kira-kira satu kaki, sekali gus menjejaskan keselesaan serta keselamatan penduduk setempat.
“Lawatan tapak ini bertujuan menilai keadaan sebenar di lapangan dan mengumpul maklumat awal bagi membolehkan tindakan susulan dirancang secara menyeluruh serta bersepadu,” katanya ketika ditemui semasa lawatan berkenaan di sini.
Lawatan tersebut turut disertai wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Jabatan Tanah dan Survei serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meneliti aspek teknikal dan pentadbiran yang berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian tanah bersebelahan kawasan terlibat merupakan milik persendirian, sekali gus mengehadkan pelaksanaan kerja pembinaan saliran tanpa kebenaran pemilik tanah.
Sehubungan itu, rundingan dengan pemilik tanah perlu dilaksanakan sebelum sebarang kerja mitigasi dapat dijalankan.
Tambah beliau, JPS telah diminta menjalankan kajian lanjut dan menyediakan cadangan teknikal bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan sebelum dibincangkan bersama pemilik tanah serta agensi berkaitan.-EDISI UKAS