KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda pembangunan mampan apabila menganjurkan Sesi Penyediaan ‘Voluntary Local Review’ (VLR) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Roadmap di Dewan Pertubuhan Peladang Sarawak.
Penganjuran sesi itu baru-baru ini bertujuan memperkukuh kefahaman bersama serta meningkatkan komitmen kolektif dalam melaksanakan SDGs menerusi pendekatan yang lebih tersusun, inklusif dan berfokuskan keperluan setempat.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah pembangunan sosial yang inklusif, tadbir urus yang berkesan serta pemeliharaan alam sekitar, selari dengan aspirasi SDGs di peringkat global dan nasional.
Pendekatan ini dilihat penting bagi memastikan pembangunan bandar dapat dilaksanakan secara seimbang tanpa mengabaikan aspek kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam.
Melalui pelaksanaan VLR, MPKS berusaha menilai tahap pencapaian semasa, mengenal pasti jurang pelaksanaan serta merangka pelan hala tuju yang lebih jelas, sistematik dan berimpak tinggi.
Usaha ini bertujuan memastikan setiap inisiatif pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta terlibat secara aktif dalam perbincangan berfokus dan perkongsian pandangan yang konstruktif.
Interaksi ini sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara pihak berkuasa tempatan, agensi pelaksana dan komuniti akar umbi dalam merealisasikan pembangunan bandar yang mampan dan berdaya tahan.
Hadir menyempurnakan sesi berkenaan ialah Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan Kr Abang Ismawi Abang Ali. -EDISI UKAS