74 Pelajar Terima Bantuan Pendidikan Fasa Ketiga Di Simunjan
SIMUNJAN: Seramai 74 pelajar menerima manfaat menerusi Sumbangan Dana Bantuan Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan fasa ketiga, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persediaan pendidikan anak-anak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, penyaluran bantuan secara berperingkat membolehkan pelajar yang layak menerima sokongan, dengan fasa ketiga itu merupakan fasa terakhir bagi program berkenaan.
“Penyerahan bantuan ini dilaksanakan secara berfasa. Fasa pertama dan kedua telah selesai, dan kini fasa ketiga disempurnakan yang merupakan fasa terakhir bagi program seumpama ini.
“Bagi anak-anak yang bakal memasuki Tingkatan Lima tahun hadapan, kita akan terus meneliti keperluan mereka supaya bantuan susulan dapat disalurkan secara berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan di Rumah Rehat Sri Simunjan, pada Sabtu..
Beliau berkata, proses permohonan dan penyaluran bantuan kini menggunakan sistem pendaftaran dalam talian bagi memastikan urusan lebih teratur dan telus.
Menurutnya, ibu bapa atau pelajar perlu menyemak maklumat serta melengkapkan pendaftaran menerusi portal rasmi sebelum bantuan dapat disalurkan.
Beliau menjelaskan bahawa sistem terkini menghendaki penerima mendaftar secara dalam talian sebelum dana disalurkan, manakala pemantauan dan semakan portal akan diteruskan bagi mengelakkan keciciran serta memastikan bantuan diterima secepat mungkin.
Awla turut menasihati pelajar supaya memanfaatkan bantuan yang diterima dengan sebaik-baiknya, memberikan tumpuan kepada pelajaran dan berusaha mencapai kecemerlangan akademik demi masa depan yang lebih baik.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya menghargai pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang sentiasa berusaha menyediakan peluang pendidikan terbaik untuk mereka. -EDISI UKAS