Kampung Sambir Perkukuh Kesedaran Keselamatan, Kesiapsiagan Bencana
ASAJAYA: Kesedaran keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana dalam kalangan penduduk Kampung Sambir diperkukuh menerusi Kempen Komuniti Selamat: Banjir dan Jenayah, yang turut disertai pelancaran Dusun Komuniti Kampung Sambir.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan penduduk mengenai langkah pencegahan banjir, kebakaran rumah dan kecemasan lain, di samping memperkukuh kerjasama komuniti dengan agensi kerajaan dalam usaha membanteras jenayah, menangani gejala sosial serta mencegah penyalahgunaan dadah.
Kempen Komuniti Selamat: Banjir dan Jenayah, yang turut disertai pelancaran Dusun Komuniti Kampung Sambir itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Dewan Kampung Sambir, pada Sabtu.
Pendekatan berasaskan komuniti itu penting bagi memastikan penduduk memahami tindakan awal ketika kecemasan, prosedur pemindahan serta langkah pengurusan risiko demi melindungi keselamatan diri, keluarga dan persekitaran.
Perkongsian maklumat serta kepakaran daripada agensi berkaitan juga dapat membantu pemimpin masyarakat dan penduduk meningkatkan keupayaan bertindak terhadap ancaman keselamatan serta bencana secara lebih teratur.
Selain aspek keselamatan, pelancaran Dusun Komuniti Kampung Sambir menjadi usaha menggalakkan penggunaan tanah secara produktif, sekali gus membuka ruang kepada penduduk meneroka aktiviti pertanian sebagai sumber ekonomi tambahan.
Bagi menyokong pembangunan dusun berkenaan, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia menyumbangkan 500 biji nanas, manakala Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan menyumbangkan 87 batang anak pokok buah-buahan dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) sebanyak 30 batang anak pokok buah-buahan.
Sumbangan itu diharap dapat menyokong pembangunan dusun komuniti serta menggalakkan penglibatan penduduk dalam aktiviti pertanian yang berpotensi menjana pendapatan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pengerusi Majlis Pembandaran Kota Samarahan (MPKS) Abang Ismawi Abang Ali, Ketua Polis Daerah Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Temenggung Dato Chek Bujang serta Penghulu Kampung Sambir Lapok Japar. -EDISI UKAS