619 Nelayan Tanjong Datu Terima 6,060 Unit Peralatan Perikanan
LUNDU: Seramai 619 nelayan dari 33 kampung di kawasan Tanjong Datu menerima 6,060 unit peralatan perikanan bagi menyokong aktiviti menangkap ikan dan memperkukuh keupayaan ekonomi komuniti nelayan setempat.
Majlis Penyerahan Projek Pembekalan Peralatan Nelayan dan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 6 itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, di sini pada Sabtu.
Bantuan yang meliputi zon Lundu, Sampadi dan Sematan itu merangkumi empat jenis peralatan, iaitu jaring tiga lapis belum siap, jaring tiga lapis siap serta dua jenis pukat tangsi yang diagihkan mengikut kategori penerima.
Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 2,366 unit jaring tiga lapis belum siap disalurkan kepada 169 penerima, manakala 2,282 unit jaring tiga lapis siap diberikan kepada 326 penerima.
Sebanyak 1,232 unit pukat tangsi bersaiz 0.30 x 2 inci pula diagihkan kepada 112 penerima, sementara 80 unit pukat tangsi bersaiz 0.40 x 4 inci disalurkan kepada 12 penerima.
Pembekalan itu bertujuan membantu nelayan mendapatkan kelengkapan bagi menjalankan aktiviti perikanan, di samping mengurangkan beban kos penyediaan peralatan dan menyokong usaha meningkatkan hasil tangkapan.
Dalam majlis sama, sebanyak 14 persatuan, jawatankuasa dan rumah ibadat menerima geran MRP Fasa 6 berjumlah RM33,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, program kebajikan serta penambahbaikan kemudahan setempat.
Kedua-dua inisiatif itu melengkapi usaha menyokong keperluan ekonomi nelayan dan memperkukuh peranan organisasi komuniti dalam melaksanakan aktiviti di peringkat akar umbi. -EDISI UKAS