Sarawak Perkasa Peralihan Tenaga Hijau, Kekang Pelepasan Karbon
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda ekonomi hijau menerusi penerokaan dan pembangunan industri tenaga boleh diperbaharui sebagai langkah strategik mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga fosil serta mengekang pelepasan karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan berkenaan selari dengan hala tuju pembangunan mampan negeri yang memberi penekanan kepada peralihan tenaga bersih, keselamatan tenaga jangka panjang serta kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, dalam merealisasikan aspirasi tersebut, Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Sarawak memainkan peranan penting sebagai penggerak inovasi dan kepakaran kejuruteraan, khususnya dalam merancang serta membangunkan infrastruktur berdaya tahan yang menyokong agenda peralihan tenaga rendah karbon.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Tahunan Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Sarawak di sini pada malam Jumaat.
Premier Sarawak menambah, usaha bersepadu antara kerajaan negeri, institusi profesional dan pihak industri ini dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai antara peneraju pembangunan ekonomi hijau di rantau ini, sejajar aspirasi negeri ke arah masa depan rendah karbon dan berdaya saing.
Jelasnya, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dijangka melahirkan lebih ramai jurutera tempatan bertauliah yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan serta transformasi sektor kejuruteraan di negeri ini.
Dalam majlis sama, beliau turut menyaksikan pertukaran tiga Surat Hasrat (LOI) yang berasingan di antara IEM Sarawak dengan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), SOLARVEST dan Saint-Gobain Malaysia, selain pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara IEM Sarawak dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Turut hadir ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Presiden IEM, Ir. Prof. Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin dan Pengerusi IEM Sarawak, Ir Dr. Angelia Liew San Chuin.