Sarawak Perkenal Pendekatan Baharu Bina Jalan, Jana Kredit Karbon
KUCHING: Sarawak akan memperkenalkan pendekatan baharu pembinaan jalan raya di kawasan tanah lembut dengan membina laluan bertingkat bagi mengelakkan degradasi tanah serta menjana kredit karbon.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembinaan jalan di atas permukaan tanah lembut seperti di kawasan Samarahan sering berdepan masalah ketidakstabilan walaupun menggunakan geotekstil, menyebabkan jalan mudah rosak selepas lima hingga enam tahun.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri kini mempertimbangkan kaedah pembinaan jalan bertingkat bagi mengelakkan gangguan terhadap struktur tanah semula jadi.
“Dengan membina jalan bertingkat, kita tidak merosakkan tanah. Sebaliknya, tanah tersebut boleh berfungsi sebagai simpanan karbon dan seterusnya membolehkan kita menjana kredit karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Cawangan Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sarawak di sini, Jumaat.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, Sarawak komited melaksanakan pembangunan infrastruktur secara mampan selaras dengan agenda ekonomi hijau negeri, termasuk penggunaan teknologi dan pendekatan kejuruteraan baharu.
Katanya, langkah tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan kesan alam sekitar, malah memberi nilai tambah ekonomi kepada negeri melalui mekanisme kredit karbon.
Jelas beliau, Sarawak turut mempunyai kelebihan dari segi sumber tenaga boleh diperbaharui, dengan kira-kira 70 peratus tenaga dijana melalui hidro dan selebihnya daripada sumber rendah karbon.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Presiden Institut Jurutera Malaysia (IEM), Ir. Professor Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin dan Pengerusi IEM Cawangan Sarawak, Ir Dr Angelia Liew San Chuin.-EDISI UKAS