PEWARTA Perkukuh Kebajikan & Profesionalisme Pengamal Media Sarawak
KUCHING: Persatuan Wartawan Sarawak (PEWARTA) komited untuk terus memperjuangkan kebajikan serta memperkukuh tahap profesionalisme pengamal media di negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan, latihan dan jaringan kerjasama strategik.
Pengerusi Penganjur Majlis Makan Malam PEWARTA, Wilfred Pilo berkata, persatuan itu bukan sahaja berperanan sebagai platform kewartawanan, malah menjadi wadah penting dalam menyatukan wartawan dan jurugambar media, khususnya selepas melalui tempoh mencabar pasca pandemik Covid-19.
Menurut beliau, sebelum majlis makan malam tersebut, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PEWARTA telah diadakan bagi menilai pencapaian persatuan, di samping menghargai sumbangan barisan kepimpinan terdahulu sejak tahun 2019.
“Selain AGM, penganjuran majlis makan malam ini bertujuan mengeratkan hubungan antara ahli PEWARTA dengan rakan strategik serta pemegang taruh dalam industri media. Kehadiran ramai kolumnis dan wartawan malam ini membuktikan sokongan padu terhadap persatuan,” katanya.
Wilfred turut memaklumkan bahawa PEWARTA telah menyalurkan sumbangan melebihi RM200,000 kepada pengamal media sejak penubuhannya, selaras dengan objektif persatuan untuk menjaga kebajikan wartawan dan jurugambar, menyediakan latihan peningkatan kemahiran, serta memperluaskan jaringan profesional.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, serta Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) atas pengiktirafan terhadap PEWARTA yang tersenarai antara enam persatuan berdaftar di Sarawak untuk menerima insentif khas yang diumumkan oleh Premier Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bulan lalu.
Sementara itu, Pemangku Pengarah UKAS, Mohamed Faisal Shah Ali berkata, PEWARTA wajar dijadikan contoh kepada persatuan lain memandangkan keanggotaannya terdiri daripada pengamal media yang berpengalaman dan berwibawa.
“PEWARTA memainkan peranan penting dalam memastikan integriti serta etika kewartawanan terus dipelihara. Tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan baharu dan saya berharap persatuan ini terus relevan serta berdaya saing,” katanya.
Dalam AGM tersebut, PEWARTA turut mengumumkan barisan kepimpinan bagi penggal 2025 hingga 2028 dengan Peter Sibon mengekalkan jawatan sebagai Presiden.
Jawatan Setiausaha kini disandang oleh Kadir Edison menggantikan Karen Bong, manakala Adrian Lim dilantik sebagai Bendahari menggantikan Nancy Nais.
PEWARTA berharap persatuan itu akan terus berkembang sebagai suara utama pengamal media di Sarawak serta menjadi platform yang kukuh dalam memperjuangkan kebajikan, profesionalisme dan kelangsungan industri kewartawanan di negeri ini.
Turut hadir Setiausaha Akhbar Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Samuel Simon, Ketua Biro Bernama Sarawak, Hamdan Ismail, serta pengamal media di sekitar Kuching.-EDISI UKAS