Pendidikan Tinggi Teras Kejayaan Masa Depan Anak Sarawak
BALAI RINGIN: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa pembangunan modal insan berpendidikan tinggi sebagai asas kejayaan masa depan negeri ini seiring keperluan dunia pendidikan dan pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, pencapaian akademik semata-mata tidak lagi mencukupi, sebaliknya pelajar perlu berani menetapkan sasaran lebih tinggi sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu menegaskan, ilmu pengetahuan merupakan pelaburan jangka panjang yang menjadi tunjang kejayaan individu serta pembangunan masyarakat dan negeri secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Graduasi Pelajar Tingkatan 5 dan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, di sini baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, Datuk Snowdan turut menyampaikan sijil dan anugerah kepada pelajar cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka, melibatkan seramai 266 orang pelajar.
Dalam perkembangan sama, pihak sekolah memaklumkan prestasi pencapaian pembelajaran SMK Balai Ringin menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila kadar kelulusan meningkat daripada 90.44 peratus pada tahun 2023 kepada 92.08 peratus pada tahun 2024, manakala Gred Purata Sekolah (GPS) turut bertambah baik daripada 5.91 kepada 5.45 bagi tempoh yang sama.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan sekolah, Datuk Snowdan turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Balai Ringin, selain RM10,000 bagi pembelian baju jubah untuk kegunaan majlis graduasi sekolah pada tahun hadapan.-EDISI UKAS