Forum Perdana Perkukuh Dakwah Islam, Pupuk Keharmonian Masyarakat Majmuk
SRI AMAN: Forum Perdana Ehwal Islam Peringkat Bahagian Sri Aman menjadi platform strategik dalam memperkukuh kefahaman dakwah Islam serta memupuk keharmonian masyarakat majmuk melalui pendekatan ilmu, hikmah dan kesederhanaan.
Forum bertemakan “Islam Rahmat Seluruh Alam” anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Sri Aman itu berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman pada Jumaat dengan menghimpunkan tokoh-tokoh agama berpengalaman dalam bidang dakwah dan pentadbiran Islam.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi.
Empat panel jemputan iaitu Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Kamarulzaman Kawi, Pegawai Agama Islam Bahagian Kuching Ustaz Haji Abdul Rahim Rashid, Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan Ustaz Bahrin Kawi serta Pegawai Agama Islam Bahagian Serian Ustaz Madihi Jamali berkongsi pandangan berkaitan peranan Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan sejagat serta keperluan mengamalkan nilai toleransi dan kesederhanaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Penganjuran forum ini turut menzahirkan peranan institusi masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat penyebaran ilmu, pembinaan sahsiah dan penyatuan ummah selaras dengan cabaran semasa masyarakat Islam.
Forum tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Sri Aman dengan kehadiran jemaah lelaki dan wanita, sekali gus mencerminkan kesedaran dan komitmen masyarakat setempat dalam memperkukuh kefahaman agama serta menghayati ajaran Islam secara menyeluruh dan berimbang.-EDISI UKAS