Jalan Pesisir Kuching–Sri Aman Singkatkan Masa Perjalanan
SRI AMAN: Pembinaan jalan pesisir baharu yang menghubungkan bandar raya Kuching ke Bahagian Sri Aman dijangka mampu memendekkan tempoh perjalanan kepada sekitar satu jam apabila siap sepenuhnya kelak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pemendekan jarak perjalanan itu bukan sahaja menjimatkan masa, malah memudahkan hasil serta produk dari Sri Aman dihantar terus ke Kuching.
Kemudahan tersebut jelasnya, turut membuka akses lebih luas ke pelabuhan dan lapangan terbang baharu di Tanjung Embang bagi tujuan eksport ke pasaran antarabangsa.
“Kita menyediakan mobiliti yang mudah dan selesa untuk masyarakat kita di mana mereka akan saling berhubung dan ini membuka banyak peluang kepada mereka.
“Penduduk di Sri Aman, misalnya, boleh memulakan sesuatu yang baharu, menjual produk ke Kuching, pergi ke Tanjung Embang, malah ke luar negara kerana Tanjung Embang akan menjadi hab utama yang merangkumi pelabuhan kita serta lapangan terbang baharu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Islam Sarawak Sri Aman, di sini pada Sabtu.
Beliau menambah, jalan pesisir berkenaan akan dibangunkan sebagai laluan empat lorong bermula dari Jambatan Sejingkat ke Kota Samarahan, seterusnya menuju ke Tanjung Embang, Sebuyau dan Lingga sebelum disambungkan ke Gedong melalui Lebuhraya Pan Borneo.
Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan bahawa pembinaan jalan baharu itu turut berfungsi sebagai laluan alternatif bagi mengatasi masalah jalan kampung ke Lingga yang sebelum ini menjejaskan kawasan penempatan penduduk setempat.
“Saya ada menggunakan jalan kampung menuju ke Lingga yang mana keadaan jalan berkenaan teruk sehingga menjejaskan kawasan penempatan.
“Maka itu, saya meminta untuk membuat jalan raya baharu ini dari tebingan Batang Lupar ke Jambatan Batang Lupar II,” jelas beliau lagi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ketua Audit Negara Dato Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS