Pembangunan Pantai Tanjung Kembang Dijangka Jadi Pemangkin Ekonomi Kabong
KUCHING: Projek bina baharu dan naik taraf fasiliti di Pantai Tanjung Kembang, Kabong dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh sektor pelancongan di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek pembangunan strategik itu akan menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan moden kepada penduduk serta pengunjung, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Pembangunan yang dirancang ini bukan sahaja akan memperindah kawasan Pantai Tanjung Kembang, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Bina Baharu dan Naik Taraf Fasiliti-Fasiliti di Pantai Tanjung Kembang, Kabong Bil. 2/2026 serta Mesyuarat ‘Proposed of Pantai Tanjung Kembang Foodcourt and Homestay’, Kabong Bil. 2/2026 di DUN Sarawak, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Dato Mohd Chee menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tam Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas kelulusan peruntukan melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi merealisasikan projek berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses perancangan, penyediaan reka bentuk dan pelaksanaan projek termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, perunding serta kontraktor yang sentiasa komited menjayakan agenda pembangunan Pantai Tanjung Kembang.
Menurutnya, satu lagi sesi libat urus kali ketiga dan terakhir akan diadakan dalam masa terdekat di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong bagi membentangkan reka bentuk akhir projek kepada pihak berkepentingan sebelum pelaksanaan dimulakan.
Jelas beliau, sesi tersebut penting bagi memastikan setiap cadangan, pandangan dan keperluan masyarakat setempat dapat diambil kira agar pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk.
Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, Pejabat Daerah Kabong, Majlis Daerah Saratok, BDDA, arkitek, jurutera, juruukur bahan serta syarikat perunding yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan Pantai Tanjung Kembang.-EDISI UKAS