Sumber Air Aset Strategik Pacu Transformasi Ekonomi Sarawak Menjelang 2030
SINGAPURA: Sarawak sedang memposisikan sumber airnya sebagai aset strategik bernilai tinggi yang bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri, ekonomi hijau dan pelaburan masa depan, sejajar aspirasi negeri mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, peranan sektor air kini jauh melangkaui fungsi tradisional sebagai utiliti asas, sebaliknya menjadi antara komponen kritikal dalam menyokong agenda transformasi ekonomi negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut beliau, Sarawak yang dikurniakan taburan hujan tinggi, sistem sungai yang luas serta sumber air mentah yang mencukupi berada pada kedudukan unik untuk memanfaatkan kelebihan tersebut bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Air bukan lagi sekadar isu alam sekitar. Ia kini menjadi isu ekonomi, isu strategik dan semakin menjadi isu geopolitik.
“Walaupun Sarawak dikurniakan sumber air yang banyak, cabaran sebenar adalah bagaimana kita mengurus, melindungi, membangunkan dan mengoptimumkan sumber tersebut secara bertanggungjawab demi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Sarawak’s Water Future: Policy Direction, Industrial Growth and Collaboration Opportunities semasa sesi SWA Regional Water Outlook: Malaysia sempena Singapore International Water Week 2026 di Marina Bay Sands, di sini pada Selasa.
Dato Sri Julaihi menambah, bekalan air yang mampan dan berdaya tahan akan menjadi semakin penting dalam menyokong pembangunan industri, peralihan tenaga, pertumbuhan ekonomi digital serta kemasukan pelaburan baharu ke Sarawak.
Katanya, ketika Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, industri hijau, pembuatan maju dan pusat data serantau, keperluan terhadap infrastruktur air yang cekap dan lestari turut meningkat.
“Semua sektor ini memerlukan infrastruktur air yang berdaya tahan dan mampan.
“Kerajaan Sarawak memberi penekanan serius terhadap pengukuhan sektor air menerusi dasar yang komprehensif, pelaburan infrastruktur, penambahbaikan institusi dan inovasi teknologi,” jelasnya.
Dalam usaha memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, beliau berkata Sarawak komited mencapai liputan penuh bekalan air selamat dan boleh dipercayai menjelang tahun 2030.
Setakat ini, liputan bekalan air negeri mencapai 86.1 peratus manakala liputan di kawasan luar bandar berada pada tahap 71.9 peratus.
Bagi memenuhi permintaan masa hadapan, Sarawak sedang melaksanakan Pelan Induk Bekalan Air dan Sistem Grid Air Sarawak yang melibatkan pemasangan kira-kira 2,800 kilometer paip baharu serta pembinaan dan penaiktarafan 21 loji rawatan air utama di seluruh negeri.
Selain itu, sebanyak 18 Loji Rawatan Air Akut telah dioperasikan sebagai langkah segera bagi menangani isu kekurangan bekalan air di kawasan yang mengalami tekanan bekalan sementara menunggu penyelesaian infrastruktur jangka panjang disiapkan.
Bagi kawasan pedalaman yang sukar dihubungkan dengan sistem grid, inisiatif Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 kampung dan rumah panjang, dengan lebih 1,300 lagi penempatan dijadualkan menerima kemudahan tersebut pada fasa seterusnya.
Menyentuh aspek pendigitalan, beliau berkata teknologi pintar akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan sektor air negeri.
“Industri air masa hadapan akan semakin bergantung kepada sistem pemantauan masa nyata, analitik ramalan, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan aset pintar.
“Teknologi ini akan membantu meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kehilangan air, mengoptimumkan penyelenggaraan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan air kini menjadi antara faktor penting yang dinilai pelabur global selain bekalan tenaga dan jaringan logistik sebelum membuat keputusan pelaburan.
Sehubungan itu, Sarawak mengalu-alukan kerjasama lebih erat melibatkan kerajaan, operator air, industri, penyedia teknologi, institusi kewangan dan organisasi penyelidikan dalam bidang inovasi, pembangunan bakat serta pembiayaan infrastruktur air yang mampan.
Pada masa sama, beliau melihat potensi besar untuk meneroka kerjasama serantau melibatkan sumber air, termasuk kemungkinan menjadikan air sebagai komoditi ekonomi yang mampu memberi manfaat bersama kepada negara-negara jiran.
“Sarawak kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan serantau dan antarabangsa dalam memajukan pengurusan air mampan, inovasi teknologi dan pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan.
“Kita percaya melalui kerjasama, kita mampu membina masa depan yang lebih mampan, berdaya tahan dan terjamin dari segi keselamatan air untuk rantau ini,” katanya.
Sementara itu, menerusi agenda pendigitalan katanya, Sarawak Water turut memperkenalkan aplikasi mudah alih Sarawak Water bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan berteraskan pengguna.
Jelasnya, aplikasi berkenaan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk fungsi layan diri, bil digital, pembayaran dalam talian serta chatbot berasaskan AI yang membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan dengan lebih mudah dan pantas.
“Aplikasi ini turut membantu meningkatkan kecekapan pengurusan aduan, mengurangkan keperluan kunjungan ke kaunter fizikal serta menyokong penambahbaikan perkhidmatan secara berterusan melalui penggunaan data dan maklum balas pengguna,” katanya.
Mengakhiri ucapan, beliau menjemput komuniti industri air antarabangsa untuk menyertai Borneo International Water & Wastewater Exhibition and Conference (BIWWEC) 2026 yang akan berlangsung di Kuching pada 15 hingga 17 Julai ini sebelum Sarawak menjadi tuan rumah IWA World Water Congress & Exhibition 2028. -EDISI UKAS