Kompleks Islam Sarawak Sri Aman Jadi Ikon Baharu Bahagian Sri Aman
SRI AMAN: Bahagian Sri Aman kini memiliki satu lagi ikonik terbaharu dalam kawasan mereka iaitu Kompleks Islam Sarawak (KIS) Sri Aman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, kewujudan KIS Sri Aman ini membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memartabatkan Islam secara adil dan inklusif dalam negeri ini.
"Penubuhannya juga selari dengan prinsip keharmonian antara agama yang menjadi teras pentadbiran negeri ini," katanya semasa berucap dalam majlis perasmian KIS Sri Aman di sini pada Sabtu.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak telah berlaku adil terhadap kebajikan agama dan pendidikan seluruh umat Islam dan bukan yang tinggal di negeri ini.
Ia katanya terbukti apabila Sarawak menjadi satu-satunya negeri dalam negara ini yang menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membantu menjaga kebajikan semua institusi keagamaan dan kemudahan pendidikan dalam negeri ini.
"Melalui UNIFOR, kita telah dapat menyalur bantuan kepada sekolah-sekolah mubaligh dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) selain turut menyalur bantuan untuk pembangunan institusi keagamaan bukan Islam di Sarawak.
“Ini menunjukkan bahawa Islam di Sarawak tidak bersifat eksklusif, sebaliknya menjadi agama yang membawa rahmat dan keadilan kepada seluruh masyarakat, termasuk bukan Islam,” kata beliau.
Untuk rekod, projek pembinaan KIS telah bermula secara rasminya pada 29 Mac 2015 di atas tanah berkeluasan 5.7 ekar bersebelahan Taman Panorama Sri Aman dengan kos asal pelaksanaannya sebanyak RM50 juta.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ketua Audit Negara Dato Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie serta tetamu lain. -EDISI UKAS