Inisiatif Ekonomi Luar Bandar Diperkasa, Fokus Tingkat Pendapatan Komuniti Spaoh
SPAOH: Pelbagai inisiatif ekonomi dan pembangunan luar bandar terus dipergiat bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya komuniti rumah panjang di kawasan Spaoh.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tumpuan diberikan kepada pengukuhan rantaian nilai pertanian dan pembukaan peluang ekonomi baharu melalui projek berimpak tinggi yang dirancang dan sedang dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, lebih 50,000 anak ayam telah diagihkan kepada penduduk rumah panjang sebagai usaha menjana pendapatan, dengan perbincangan pemasaran hasil ternakan bersama pihak Cold Storage.
“Selain itu, sebuah Agropark seluas lebih 700 ekar akan dibangunkan menggunakan teknologi pertanian moden, manakala pembinaan lapangan terbang serta pusat pengumpulan dan pemprosesan dijangka membantu memproses serta memasarkan produk tempatan ke luar negeri dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Mantar Gawai Dayak 2026 anjuran Gerempung Tuai Rumah (GTR) Daerah Kecil Spaoh yang diadakan di Dewan Masyarakat Spaoh pada Ahad.
Datuk Amar Douglas Uggah menambah, selain sektor ekonomi, potensi pelancongan turut diberi perhatian menerusi perancangan pembinaan replika kubu pahlawan di Bukit Sadok yang dijangka menjadi tarikan baharu serta membuka peluang kepada komuniti menjana pendapatan melalui produk kraf dan aktiviti pelancongan.
Dalam masa yang sama, penglibatan belia dalam seni tradisional Iban terus diperkasa melalui penubuhan Kelab Main Asal sebagai usaha memelihara warisan budaya.
Beliau turut menegaskan peranan penting Tuai Rumah sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, selain memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang layak.
Kerajaan Sarawak juga katanya, terus komited menyediakan pelbagai peruntukan termasuk program membaik pulih rumah, menaik taraf infrastruktur luar bandar serta subsidi sektor pertanian bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menjelang 2030.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu menekankan pembangunan infrastruktur, sosioekonomi dan pendidikan yang dinikmati hari ini adalah hasil kestabilan politik serta sokongan berterusan rakyat kepada kerajaan.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan ibu bapa supaya memberi penekanan terhadap pendidikan anak-anak, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan peluang pendidikan tinggi percuma yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.
Dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup akibat faktor global, ujarnya, kerajaan negeri terus membantu rakyat melalui bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), pengurangan sewa peniaga sebanyak 50 peratus dan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus.-EDISI UKAS