MUKAH: Ribuan pengunjung membanjiri Tapak Kaul Mukah bagi memeriahkan penganjuran Showcase Cats30 x Pesta Kaul Mukah yang berlangsung bersempena sambutan Kaul Mukah 2026, pada Ahad.
Konsert yang menjadi antara acara kemuncak itu berjaya menarik perhatian masyarakat setempat serta pengunjung luar dengan penampilan barisan artis popular tanah air seperti Aisha Retno, Haqiem Rusli, Marsha Milan dan Ameng.
Persembahan yang disajikan menghiburkan pengunjung menerusi rangkaian lagu popular masing-masing sekali gus menyemarakkan lagi suasana pesta yang berlangsung meriah.
Turut hadir menyaksikan konsert tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian Royston Valentine.
Dalam perkembangan berkaitan, Daerah Mukah muncul johan bagi Kategori Daerah dan Daerah Kecil dalam Pertandingan Gerai Komuniti sempena Kaul Mukah 2026.
Kemenangan itu melayakkan Daerah Mukah membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM2,000 termasuk sumbangan tambahan RM500 yang disampaikan oleh Dato Hanifah.
Naib johan dimenangi oleh Daerah Daro dengan hadiah RM1,200, manakala tempat ketiga disandang oleh Daerah Kecil Igan yang menerima RM1,000.
Bagi kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persatuan, JKKK Kampung Tutus Ulu Mukah dinobatkan sebagai johan dengan hadiah keseluruhan RM2,000 termasuk sumbangan khas, diikuti JKKK Kampung Tellian Ulu Mukah di tempat kedua (RM1,200) dan JKKK Kampung Datuk Mukah di tempat ketiga (RM1,000).
Pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan memberangsangkan melibatkan 36 lot bagi dua kategori, iaitu Daerah dan Daerah Kecil serta JKKK dan Persatuan.
Sebanyak lapan penyertaan diterima bagi kategori Daerah dan Daerah Kecil melibatkan Mukah, Dalat, Matu, Daro, Tanjung Manis serta daerah kecil Balingian, Oya dan Igan.
Sementara itu, kategori JKKK dan Persatuan merekodkan 23 penyertaan yang menampilkan kreativiti serta keunikan dekorasi gerai masing-masing.-EDISI UKAS