Komuniti Tanjung Manis Rebut Peluang SejaTi MADANI Majukan Kampung
TANJUNG MANIS: Penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Tanjung Manis diseru agar lebih proaktif merebut peluang yang disediakan menerusi Program SejaTi MADANI bagi merancakkan pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, program tersebut merupakan platform strategik yang membolehkan komuniti merancang, mencadangkan dan melaksanakan inisiatif pembangunan kampung secara lebih tersusun, inklusif dan mampan.
Menurut beliau, landskap pembangunan luar bandar kini menuntut perubahan pendekatan dalam kalangan masyarakat yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bantuan, sebaliknya perlu lebih berdaya saing dan berinisiatif dalam memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan.
“Kalau dahulu kita hanya menunggu bantuan datang, hari ini kita berada pada tahap yang berbeza.
“Kita sendiri boleh mencadangkan idea, merancang program dan menentukan hala tuju pembangunan kampung kita,” katanya ketika berucap pada Program Taklimat dan Sesi Handholding SejaTi MADANI di sini, pada Isnin.
Beliau memaklumkan, setakat ini hanya 15 JKKK di daerah Tanjung Manis telah mengemukakan permohonan di bawah program berkenaan, dengan tujuh daripadanya berjaya memperoleh kelulusan.
Sehubungan itu, Datuk Len Talif menggesa lebih banyak JKKK tampil mengemukakan cadangan berkualiti tinggi agar manfaat program tersebut dapat diperluaskan kepada lebih banyak komuniti di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa Tanjung Manis mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, khususnya dalam sektor pelancongan komuniti, ekonomi berasaskan hasil laut serta industri hiliran.
Menurutnya, aktiviti seperti memancing rekreasi, perkhidmatan bot pelancongan dan eko-pelancongan yang telah lama diamalkan masyarakat setempat sebenarnya mempunyai nilai komersial yang tinggi serta berpotensi menarik kedatangan pelancong.
Selain itu, beliau mencadangkan pembangunan inap desa berkonsepkan kampung tradisional, penyediaan pakej pelancongan bersepadu termasuk sajian makanan laut segar, aktiviti budaya serta pengalaman kehidupan tradisional sebagai produk unik yang boleh diketengahkan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan komuniti yang menerima peruntukan agar mengurus dan melaksanakan projek dengan penuh amanah, komitmen serta memastikan setiap inisiatif mencapai objektif yang ditetapkan.
Beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus menyokong segala usaha pembangunan yang mampu membawa manfaat besar kepada rakyat di kawasan Kuala Rajang.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Sarawak Dato' Jasni Jubli serta Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah.-EDISI UKAS