37 Pelajar Cemerlang SPM 2025 SMK Meradong Terima Insentif
BINTANGOR: Seramai 37 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong menerima insentif dalam majlis diadakan di sekolah itu pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kejayaan pelajar berkenaan merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan wajar diberikan pengiktirafan.
“Insentif ini bukan sahaja sebagai ganjaran, tetapi juga sebagai motivasi kepada pelajar lain, khususnya murid Tingkatan 3, 4 dan 5 agar terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya semasa berucap.
Dalam pada itu, Datuk Ding menegaskan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau turut menggalakkan pelajar untuk menceburi bidang berkenaan sejajar dengan perkembangan dunia yang semakin berasaskan teknologi dan inovasi.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri memberi fokus kepada pembangunan ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui serta teknologi hijau yang membuka peluang luas kepada generasi muda.
Tambahnya lagi, bermula tahun 2026, Kerajaan Sarawak akan melaksanakan inisiatif pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak dalam bidang strategik seperti STEM, perubatan, kewangan, perakaunan dan undang-undang.-EDISI UKAS