Meditasi Pendekatan Sokongan Tangani Tekanan Kakitangan Perubatan
KUCHING: Amalan meditasi berperanan penting sebagai pendekatan sokongan dalam membantu menangani tekanan mental dan emosi, khususnya dalam kalangan kakitangan hospital yang berdepan persekitaran kerja mencabar serta tuntutan perkhidmatan kesihatan yang tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, hospital sering dilihat sebagai tempat rawatan pesakit, namun hakikatnya turut menjadi persekitaran kerja bertekanan tinggi kepada kakitangan perubatan termasuk doktor dan jururawat.
“Hospital ialah tempat yang penuh tekanan, bukan hanya kepada pesakit dan keluarga mereka, tetapi juga kepada kakitangan perubatan.
“Apabila kakitangan perubatan tertekan, mereka akan melakukan lebih banyak kesilapan.
“Itulah sebabnya, pendekatan seperti meditasi sangat penting sebagai mekanisme mengurus tekanan, membantu individu berhenti seketika, berfikir, bermuhasabah dan kembali fokus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Hari Meditasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-2 atau 2nd United Nations World Meditation Day yang berlangsung di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, pada Ahad.
Menurut Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, HUS yang mempunyai kira-kira 5,000 kakitangan dan kapasiti sebanyak 1,000 katil beroperasi dengan peruntukan tahunan sekitar RM834 juta, iaitu jauh lebih rendah berbanding hospital bersaiz sama di negara maju.
Walaupun berdepan kekangan sumber, beliau berkata HUS tetap mampu berfungsi dengan cekap hasil kecekalan serta komitmen tinggi kakitangan kesihatan Sarawak yang terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim turut menegaskan bahawa program seperti sambutan Hari Meditasi PBB bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesejahteraan mental dan emosi, malah membantu memupuk nilai empati, ketahanan dan sokongan berterusan terhadap warga kesihatan yang menjadi tunjang utama sistem perkhidmatan perubatan di Sarawak.-EDISI UKAS