BALINGIAN: Empat Projek Rakyat di kawasan Balingian telah dirasmikan pada Isnin, menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat setempat.
Majlis perasmian projek-projek berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi.
Kesemua projek tersebut dilaksanakan di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dengan peruntukan keseluruhan mencecah jutaan ringgit, merangkumi kemudahan perniagaan, kemudahan awam serta penambahbaikan perkhidmatan komuniti di kawasan Balingian.
Projek yang dirasmikan ialah Anjung Selera Balingian, sebuah pusat kulinari bernilai RM5 juta yang dilengkapi 10 unit gerai makanan dan minuman yang dibina bagi menyediakan ruang perniagaan yang kondusif kepada peniaga tempatan di samping menjadi lokasi persinggahan pengunjung yang melalui kawasan berkenaan.
Turut dirasmikan ialah Pusat Penjaja Kuala Balingian bernilai RM3 juta yang menyediakan 20 unit gerai perniagaan yang lebih tersusun bagi meningkatkan taraf ekonomi penjaja kecil di sekitar Kuala Balingian.
Selain itu, projek Pembinaan Tempat Letak Kereta, Tandas Awam dan Landskap bernilai RM1.5 juta turut dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan orang ramai serta memperindah persekitaran pekan Balingian, khususnya ketika penganjuran majlis dan aktiviti awam.
Sementara itu, projek Naik Taraf Pusat Sumber Balingian dan Pejabat MDDM melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian dalaman dan penyediaan perkakasan bernilai RM1.5 juta, bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menyediakan kemudahan rujukan yang lebih baik kepada komuniti setempat.
Pelaksanaan projek-projek ini membuktikan keprihatinan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan setiap peruntukan disalurkan secara efektif demi kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
Hadir sama semasa majlis tersebut ialah Setiausaha MDDM Abdul Razak Awang Bini dan Pegawai Tadbir Daerah Kecil Balingian Abdul Malik Talip.-EDISI UKAS