'Journey Of Gratitude Night' Penghargaan Daripada Unit-Unit Di Bawah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik
KUCHING: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik diraikan atas penghargaan daripada unit-unit dibawah beliau dalam Majlis Makan Malam 'Journey Of Gratitude Night' sebagai penghargaan kepada dirinya yang bakal menamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember ini.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak khususnya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat selama 37 tahun dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri SarawaK (JPBNS) di mana beliau merupakan Timbalan Pengerusi.
"Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki kerana telah memberi peluang kepada saya untuk sama-sama berkhidmat serta bekerjasama dengan beliau dalam satu pasukan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) One Team," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis tersebut yang disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel di sebuah hotel terkemuka di sini pada Isnin.
Datu Buckland turut menghargai dua rakan sejawatnya iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee kerana telah memberi kerjasama dan sokongan semasa menjalankan tugas.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ketua-ketua jabatan yang dibawahnya iaitu Unit Pentadbiran, Unit Pengurusan Imigresen Dan Buruh (ILMU), Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Mahkamah Bumiputera Sarawak dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
"Saya tidak mampu bekerja seorang diri, sebab itu saya amat berterima kasih kepada anda semua kerana mampu menjalankan tugas sebaiknya.
"Hanya dengan kerjasama daripada anda semua kita mampu menyelesaikan sebarang tugas yang telah ditanggungjawabkan kepada kita," ujarnya.
Difahamkan, Datu Buckland bakal menyerahkan tugasnya kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua.
Hadir sama, Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak Datu Jonathan Lugoh, Pengarah Unit Pentadbiran Rusmaliza Mat Darus, Pengarah ILMU Richard Lon, Setiausaha MAIS Mackos Sibong, Pengarah UKPS Abdul Wahab Rahim, ketua-ketua jabatan serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Hazrin Sunaini