Gereja St Teresa Avila Terima Peruntukan RM300,000 GKCDA
BAU: Gereja St Teresa Avila, Kampung Stenggang menerima peruntukan sebanyak RM300,000 di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan gereja, khususnya membabitkan pembaikan atap lama yang didapati bocor di bahagian belakang bangunan berkenaan.
Pengumuman itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang ketika berucap sempena St Teresa Avila Church Appreciation Night & Christmas Buffet Dinner yang berlangsung di Dewan SK St Teresa Stenggang, di sini, pada Isnin.
Berucap dalam majlis tersebut, beliau menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha pembangunan komuniti di kawasannya.
"Ini merangkumi aspek kebajikan, pendidikan dan keharmonian antara agama melalui kerjasama erat antara gereja, kepimpinan masyarakat dan wakil rakyat," katanya.
Beliau menegaskan bahawa sesebuah gereja bukan hanya terbina melalui struktur fizikal semata-mata, sebaliknya berasaskan iman, kesetiaan dan semangat pelayanan.
Katanya, kemajuan yang dicapai oleh Gereja St Teresa Avila adalah hasil usaha kolektif pelbagai pihak, termasuk kerja di belakang tabir, masa dan tenaga yang dicurahkan serta doa yang berterusan.
Justeru, beliau turut mendoakan agar Gereja St Teresa Avila terus diberkati, kepimpinannya diberikan hikmah dan kekuatan, serta seluruh komuniti sentiasa hidup dalam suasana damai, penuh kasih dan bersatu padu. -EDISI UKAS