JKR Sarawak Anjur Kempen Keselamatan Balik Kampung Krismas 2025
MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melancarkan Kempen Keselamatan Balik Kampung Sempena Krismas 2025 bagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan, khususnya ketika pulang ke kampung halaman.
Kempen yang berlangsung di Stesen Minyak PETRONAS, Jalan Bypass, Miri itu disempurnakan oleh Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris dan disertai barisan kepimpinan JKR Sarawak serta agensi penguatkuasa berkaitan.
Dalam kenyataan medianya, beliau menegaskan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, khususnya di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, menuntut tahap kesedaran keselamatan yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, pemandu dinasihatkan agar memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, termasuk memeriksa tayar, lampu, pengelap cermin dan brek.
Selaras dengan mesej kempen “Pandu Cermat, Sampai Pun Selamat”, beliau mengingatkan pemandu supaya sentiasa memakai tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan papan tanda jalan, menggunakan pusingan U dengan betul serta berhenti memandu sekiranya berasa letih.
Menurutnya, kempen berkenaan bukan sekadar menyampaikan peringatan, malah memberi pendedahan secara langsung kepada pengguna jalan raya melalui senarai semak keselamatan kenderaan serta interaksi bersemuka bersama pegawai JKR.
Sepanjang program, pengguna jalan raya berpeluang menjalani pemeriksaan keselamatan kenderaan serta menerima pengagihan 170 beg cenderahati dan 16 unit topi keledar sebagai galakan kepada amalan pemanduan selamat.
Program turut diserikan dengan sesi bergambar dan penyerahan cenderahati kepada agensi terlibat.
JKR Sarawak berharap kempen ini dapat meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan Krismas ini.-EDISI UKAS