SEDC Laksana Inisiatif CSR Kepada Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah melaksanakan inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Maahad Tahfiz Raudhatul Jannah (RAUDHAH) dalam menzahirkan komitmen berterusan terhadap kesejahteraan komuniti dan pembangunan insan.
Inisiatif CSR melalui penganjuran Majlis Penyerahan Sumbangan Keperluan Makanan disempurnakan oleh Pemangku Pengurus Besar SEDC Rakayah Hamdan di Menara SEDC, Jalan Isthmus pada Selasa.
Berucap dalam majlis tersebut, Rakayah memgesyorkan inisiatif ini bukan sekadar penyerahan sumbangan malah mencerminkan tanggungjawab sosial dan aspirasi SEDC dalam membina kemakmuran Sarawak secara menyeluruh dan berimpak jangka panjang selaras dengan gagasan 'Prospering Sarawak Today For Tomorrow'.
"Dalam usaha memakmurkan Sarawak untuk generasi akan datang, pendidikan memainkan peranan yang amat penting di mana institusi pendidikan Islam seperti RAUDHAH bukan sahaja melahirkan generasi berilmu, tetapi membentuk insan yang berakhlak, berdisiplin dan berintegriti.
"Inilah asas kepada pembentukan modal insan berkualiti yang akan menyumbang kepada kestabilan sosial, kepimpinan beretika dan kemakmuran Sarawak pada masa hadapan," katanya.
Tambahnya, sumbangan keperluan makanan yang disalurkan diharap dapat membantu meringankan kos operasi harian Maahad, menyokong keperluan pelajar sepanjang tempoh pengajian serta memastikan kelangsungan operasi institusi pendidikan tersebut.
Rakayah turut memaklumkan, program CSR ini merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan SEDC dalam menyantuni keperluan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan.
Sebelum ini jelasnya, SEDC telah melaksanakan inisiatif CSR yang hampir sama di Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman, pada 17 Disember 2025, melibatkan penyerahan peralatan dan keperluan asas bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut.
Untuk rekod, SEDC telah menyerahkan sumbangan keperluan asas sebanyak RM19,420 kepada RAUDHAH bagi kegunaan sepanjang tahun 2026. -EDISI UKAS