Legasi, Nilai Kerja Datu Buckland Jadi Panduan & Inspirasi Penjawat Awam Sarawak
KUCHING: Legasi dan nilai kerja Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik akan terus menjadi panduan dan inspirasi kepada semua penjawat awam Sarawak.
Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, Datu Buckland sepanjang perkhidmatan dikenali sebagai seorang yang berwibawa, berprinsip serta mengutamakan kepentingan bersama.
Tambahnya, kepimpinan beliau bukan sahaja memberi inspirasi kepada rakan sekerja malah menjadi contoh kepada generasi penjawat awam lain.
"Baru-baru ini, beliau telah dianugerahkan Anugerah Pegawai Contoh Pengurusan Tertinggi, maka tahniah diucapkan kepada Datu Buckland.
"Kecekalan, kebijaksanaan serta ketegasan yang seimbang dengan sikap rendah diri merupakan antara ciri-ciri kepimpinan beliau yang kita semua hargai," katanya.
Beliau berucap demikian dalam Majlis 'Gratitude Of Journey Night' Bagi Meraikan Datu Buckland yang bakal menamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember ini di sebuah hotel terkemuka di sini pada Isnin.
Mengenang jasa Datu Buckland, Dato Sri Dr Muhammad Abdullah menganggap beliau sebagai seorang 'abang' yang banyak memberi tunjuk ajar serta bimbingan dalam menggalas tugas seharian.
Ujarnya, Datu Buckland sering berpesan agar menjalankan amanah dengan jujur serta sentiasa bersikap rendah diri namun perlu ada ketegasan.
Tegasnya, inilah satu prinsip yang harus dicontohi oleh setiap penjawat awam Sarawak.
"Pada pandangan saya, tidak ramai yang memiliki sikap yang sederhana tetapi sangat bermakna dalam berurusan dengan rakan-rakan sekerja.
"Berkhidmat selama 37 tahun dengan penuh kejujuran bersama rakan-rakan bukanlah sesuatu yang mudah di mana pengorbanan serta komitmen yang konsisten ditunjukkan beliau adalah satu teladan yang saya fikir, tidak ramai mampu miliki," ujarnya.
Hadir sama, Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak Datu Jonathan Lugoh, Pengarah Unit Pentadbiran Rusmaliza Mat Darus, Pengarah ILMU Richard Lon, Setiausaha MAIS Mackos Sibong, Pengarah UKPS Abdul Wahab Rahim, ketua-ketua jabatan serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Hazrin Sunaini