Aktiviti Gotong-Royong Perdana Perkukuh Semangat Kesukarelawanan Masyarakat Asajaya
ASAJAYA: Budaya kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat setempat terus diperkasa menerusi penganjuran Aktiviti Gotong-Royong Perdana di Tanah Perkuburan Islam Kampung Asajaya Laut pada Khamis.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kebersihan serta pengurusan landskap kawasan perkuburan agar lebih teratur dan terpelihara demi keselesaan penduduk setempat.
Program murni ini dijayakan secara kolaboratif oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pejasa bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Asajaya Tengah dan JKKK Kampung Asajaya Laut.
Penyertaan turut melibatkan penduduk dari kedua-dua kampung termasuk kumpulan penggali kubur Kampung Asajaya Tengah dan Kampung Asajaya Laut yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah pembersihan kawasan semak samun, penyelenggaraan infrastruktur asas serta pembersihan sisa organik bagi memastikan persekitaran tanah perkuburan kekal bersih dan terurus.
Penganjuran program ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap kebersihan kawasan, malah turut mengukuhkan semangat kerjasama serta perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.-EDISI UKAS