MUKAH: Tradisi kunjungan rumah terbuka Krismas merupakan antara amalan unik di Malaysia, khususnya di Sarawak, yang melambangkan keharmonian masyarakat majmuk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, amalan ini bukan sekadar acara sosial, malah menjadi asas penting dalam memupuk keharmonian dan memperkukuh kepercayaan antara rakyat serta kerajaan.
“Kunjungan rumah terbuka ini mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat Sarawak yang sentiasa hidup dalam semangat perpaduan," katanya ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka beliau di rumah kediamannya pada Khamis.
Melalui tradisi ini ujarnya, rakyat tanpa mengira kaum dan agama saling berkunjung untuk menikmati juadah istimewa seperti kek lapis dan ayam panggang, berkongsi kegembiraan serta mengeratkan silaturahim.
Justeru, Royston berharap tradisi seperti ini akan terus dipelihara dan diperkasakan sebagai simbol kekuatan masyarakat Sarawak yang bersatu padu, aman dan saling menghormati, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang inklusif dan sejahtera. -EDISI UKAS