Sarawak Cipta Sejarah Dunia Guinness Menjelang Tahun Baharu 2026
KUCHING: Sarawak bakal melakar satu pencapaian bersejarah di pentas antarabangsa apabila berjaya mencipta Rekod Dunia Guinness (GWR) menerusi satu perjalanan ikonik merentasi negeri ini, sekali gus mengukuhkan penjenamaan Sarawak sebagai 'Gateway to Borneo'.
Pengumuman rasmi pengiktirafan Rekod Dunia Guinness tersebut akan dibuat sempena acara Countdown 2026 atau kiraan detik di Tabingan Sungai Kuching pada 31 Disember 2025, selari dengan persiapan Sarawak menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 serta memposisikan negeri ini di persada global.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar memecah rekod dunia, malah mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak untuk melangkah ke hadapan dengan idea berani dan keyakinan tinggi menjelang 2026.
Menurut beliau, pemilihan malam ambang tahun baharu sebagai platform pengumuman rekod dunia merupakan isyarat jelas momentum yang sedang dibina Sarawak dalam memperkukuh penjenamaan global serta kesediaan menyambut kehadiran pelancong antarabangsa.
Acara Countdown 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu turut menampilkan barisan persembahan tempatan, nasional dan antarabangsa, sebelum diserikan dengan pertunjukan bunga api muzik tepat tengah malam sebagai simbol bermulanya perjalanan Sarawak ke tahun baharu dengan penuh keyakinan dan bercita-cita besar.