Guru Silat Pemelihara Warisan, Pembentuk Jati Diri Masyarakat
KUCHING: Peranan guru silat sebagai pemelihara warisan budaya dan pembentuk jati diri masyarakat terus diiktiraf sebagai tunjang penting dalam kelangsungan seni persilatan Melayu di Sarawak dan Malaysia.
Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Dato Dr. Wan Ali Tuanku Madhi berkata, guru silat bukan sekadar pengajar seni mempertahankan diri, sebaliknya berperanan sebagai pendidik, pembimbing, mentor serta penjaga nilai budaya dan akhlak bangsa.
“Ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru silat tidak hanya menguatkan fizikal, tetapi membentuk jati diri, membina disiplin, menanamkan keberanian, hormat kepada guru, dan menjunjung tinggi akhlak mulia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama-Sama Guru Silat sempena Festival Jabat Sejagat 2025, di Hotel Waterfront Kuching pada Jumaat.
Menurut Dato Dr. Wan Ali, Festival Jabat Sejagat 2025 berfungsi sebagai platform penyatuan aliran dan perguruan silat bagi mempamerkan seni persilatan, berkongsi ilmu serta memperkukuh jaringan persaudaraan dalam komuniti persilatan.
Beliau berkata, PKMS yang ditubuhkan pada 10 Oktober 1939 merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertua di Sarawak dan sentiasa komited memartabatkan agama Islam, adat resam, budaya serta warisan Melayu termasuk seni silat.
Sehubungan itu, ujar beliau PKMS menyokong dan menggalakkan penganjuran program kebudayaan seperti Festival Jabat Sejagat bagi memastikan warisan persilatan Melayu terus diperturunkan kepada generasi muda sebagai simbol identiti dan kekuatan budaya bangsa.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS) Muhammad Hannef Ali, Timbalan Presiden RSS Dato Mohammad Yusnar Matalie, Naib Presiden I RSS Mohamed Alli Zainudin, Setiausaha Agung PKMS Ahmad Zainuddin Drahman dan Setiausaha Agung RSS Abas Hamzah Muhd Haneef.-EDISI UKAS