333 Peserta Sertai Kejohanan Ping Pong Antara Bahagian Sarawak Ke-63
KUCHING: Seramai 333 peserta menyertai Kejohanan Ping Pong Antara Bahagian Sarawak Ke-63 yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No. 3 pada Sabtu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Khairul Nizam Morshidi berkata, peserta terdiri daripada sembilan bahagian dari iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Menurutnya, sebanyak 25 acara dipertandingkan, termasuk acara khas bagi kaum Bumiputera, sekali gus mencerminkan keterangkuman dan peluang penyertaan yang seimbang.
"Kejohanan ini menjadi platform penting dalam memupuk semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan antara warga kerja pelbagai bahagian di Sarawak, selaras dengan usaha membudayakan gaya hidup sihat dan aktif," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Unit Sukan Wajib SSC Mohamad Ikmal Afandi dalam ucapan perasmian kejohanan tersebut.
Khairul menambah, kejohanan ini juga merupakan salah satu platform penting bagi atlet-atlet longlist SUKMA Sarawak sebagai persiapan menghadapi SUKMA 2026.
Justeru, beliau berharap kejohanan ini dapat membakar semangat para peserta untuk terus komited menjalani latihan di pusat latihan masing-masing, seterusnya memantapkan kemahiran dan prestasi diri demi menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan ping pong di peringkat kebangsaan.
Hadir sama, Timbalan Presiden Persatuan Ping Pong Sarawak (TTAS) Alvin Wong dan Pengerusi TTAS Bahagian Samarahan merangkap pengerusi kejohanan Siman Ngu Meng Tong. -EDISI UKAS