50 Kanak-Kanak Sertai Majlis Khatan Perdana SABERKAS Muara Tuang
KOTA SAMARAHAN: Seramai 50 kanak-kanak menyertai Majlis Khatan Perdana 2025 anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan DUN Muara Tuang dengan kerjasama Pegawai Perubatan Hospital Jantung Kota Samarahan yang diadakan di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Sabtu.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang berkata, program khatan perdana bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa, malah menjadi wadah untuk memperkukuh ukhuwah, semangat kebersamaan serta nilai keberanian dalam kalangan kanak-kanak sebagai langkah awal menuju alam kedewasaan.
“Berkhatan merupakan tuntutan wajib dalam Islam dan satu identiti penting seorang Muslim, selain memberi manfaat besar dari sudut kesihatan. Kini, amalan ini turut mendapat perhatian masyarakat pelbagai agama kerana kebaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh isterinya, Datin Nurhidayah Hussain semasa berucap dalam majlis tersebut.
Dato Idris yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Muara Tuang menyifatkan program seumpama ini sebagai satu kenangan bermakna buat para peserta, selain berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Muara Tuang, Kr Aziz Mohammad dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa program tersebut merupakan antara usaha berterusan SABERKAS dalam mendekati masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan kesihatan.
Jelasnya, pelaksanaan program ini mendapat khidmat nasihat serta sokongan daripada Kelab Berkhatan Pembantu Perubatan Negeri Sarawak, melibatkan petugas perubatan berpengalaman dan terlatih bagi memastikan prosedur khatan dijalankan dengan selamat dan teratur. -EDISI UKAS